MOSCOW, 19 Julai – Rusia mendakwa pasukannya berjaya menyerang beberapa lokasi ketenteraan Ukraine dan menawan lebih banyak penempatan, manakala Ukraine pula berikrar akan mempertahankan negaranya daripada sebarang percubaan pencerobohan oleh Rusia dari pelbagai arah.
Dalam kenyataan Kementerian Pertahanan Rusia pada Jumaat, serangan selama seminggu menggunakan senjata berketepatan tinggi dari udara serta dron serangan dilancarkan terhadap kemudahan perindustrian ketenteraan Ukraine, lapangan terbang tentera, lokasi pemasangan dan simpanan dron serta bot tanpa pemandu, selain depot bahan api dan peralatan.
Rusia turut memaklumkan pasukannya kini menguasai 10 penempatan di wilayah Kharkiv, Donetsk dan Zaporizhzhia. Sementara itu, pertahanan udara negara itu dilaporkan berjaya menembak jatuh sebanyak 1,387 dron Ukraine sepanjang tempoh tersebut.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky pula menyatakan barisan hadapan kini tertumpu di Pokrovsk dan beberapa arah lain di Donetsk yang sedang berdepan serangan hebat oleh tentera Rusia. Beliau turut menyifatkan keadaan di kawasan sempadan Sumy dan Kharkiv sebagai terus kritikal.
"Angkatan tentera Ukraine akan bertindak balas terhadap sebarang cubaan penembusan oleh Rusia, dan kami akan memusnahkan mana-mana pasukan sabotaj dan peninjau Rusia yang cuba menyusup masuk," katanya.
Kementerian Pertahanan Rusia turut melaporkan pada awal pagi Sabtu, sistem pertahanan udara negara itu menembak jatuh 87 dron sayap pegun Ukraine antara pukul 6:15 petang hingga 11:05 malam waktu Moscow, di kawasan termasuk Moscow, Oblast Moscow, Bryansk, dan Oryol. Lima daripadanya ditembak jatuh di ruang udara Moscow.
Datuk Bandar Moscow, Sergey Sobyanin pula memaklumkan sebanyak enam lagi dron berjaya ditembak jatuh oleh pasukan pertahanan udara ketika cuba menceroboh ibu negara itu awal pagi Sabtu.-REUTERS