fb fb fb fb fb

Trump ugut ambil semula kawalan Terusan Panama

Foto AFP

BANDAR PANAMA, 20 Disember- Presiden Panama, Jose Raul Mulino pada Ahad menolak ancaman Presiden Amerika Syarikat yang bakal dilantik, Donald Trump untuk mengambil semula kawalan ke atas Terusan Panama.

Ancaman itu dibuat berikutan aduan mengenai layanan "tidak adil" terhadap kapal-kapal Amerika.

"Setiap meter persegi Terusan Panama dan kawasan sekitarnya adalah milik Panama dan akan kekal milik Panama," kata Mulino dalam video yang dimuat naik ke platform X.

Kenyataan itu dibuat sehari selepas Trump, melalui platform Truth Social, mengkritik kadar bayaran yang dikenakan oleh Panama sebagai "tidak masuk akal" serta membangkitkan kebimbangan terhadap pengaruh China di sekitar terusan itu.

"Jika Panama tidak dapat memastikan operasi saluran ini berjalan dengan selamat, cekap, dan boleh dipercayai, maka kami akan menuntut agar Terusan Panama dikembalikan sepenuhnya kepada kami tanpa sebarang persoalan," kata Trump.

Mulino menegaskan bahawa Terusan Panama tidak berada di bawah kawalan langsung atau tidak langsung dari mana-mana kuasa besar, termasuk China, Kesatuan Eropah atau Amerika Syarikat.

Trump bagaimanapun memberi respon balas, dengan mengatakan "Kita lihat nanti !", di Truth Social.- AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM