fb fb fb fb fb

Trump tandatangani akta wujudkan rangka kawal selia baharu untuk 'stablecoin' di AS

Presiden AS, Donald Trump, memaparkan Akta GENIUS selepas menandatanganinya di White House, Washington, DC /Foto AFP

WASHINGTON, 18 Julai - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, pada Jumaat menandatangani satu akta baharu yang memperkenalkan rangka kerja kawal selia bagi mata wang kripto yang disandarkan kepada aset stabil seperti dolar AS atau bon AS, dikenali sebagai stablecoin.

Langkah ini dilihat sebagai pemangkin kepada penggunaan aset digital itu dalam urusan pembayaran harian dan pemindahan wang.

Akta yang dinamakan sebagai GENIUS Act diluluskan oleh Dewan Perwakilan dengan sokongan majoriti, 308 undi menyokong berbanding 122 menolak termasuk hampir separuh ahli Demokrat dan sebahagian besar Republikan.

Undang-undang ini merupakan kejayaan besar buat penyokong industri kripto yang telah lama melobi untuk mendapatkan pengiktirafan undang-undang yang sebelum ini digambarkan sebagai Wild West digital sejak kewujudannya pada tahun 2009.

“Ini merupakan pengiktirafan besar terhadap usaha gigih dan semangat anda semua,” kata Trump dalam satu majlis menandatangani akta tersebut yang turut dihadiri beberapa tokoh industri kripto.

Stablecoin direka untuk mengekalkan nilai tetap, lazimnya disandarkan 1:1 kepada dolar AS, dan penggunaannya semakin meluas terutama dalam kalangan pedagang kripto untuk memindahkan dana antara token.

Industri berharap stablecoin akan digunakan secara arus perdana sebagai medium pemindahan wang yang cepat dan cekap.

Akta baharu ini mensyaratkan setiap stablecoin disokong sepenuhnya oleh aset cair seperti dolar AS dan bon Perbendaharaan jangka pendek, serta mewajibkan penerbit mendedahkan secara bulanan komposisi rizab mereka kepada umum. - REUTERS

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI