WASHINGTON, 29 Disember - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyambut baik persetujuan gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja, yang disifatkannya sebagai langkah penting ke arah pemulihan keamanan selepas beberapa minggu pertempuran di kawasan sempadan kedua-dua negara.
Menerusi satu hantaran di platform Truth Social, Trump berkata kedua-dua negara berjiran itu akan “menghentikan pertempuran dan kembali hidup dalam keamanan”, sambil memuji tindakan pantas dan tegas pemimpin Thailand serta Kemboja dalam menamatkan konflik.
Gencatan senjata itu dipersetujui sehari selepas kedua-dua negara mencapai persetujuan kedua dalam tempoh beberapa bulan, susulan pertempuran sengit di sempadan yang mengorbankan sekurang-kurangnya 101 nyawa dan menyebabkan lebih 500,000 penduduk kehilangan tempat tinggal.
Trump turut mendakwa AS memainkan peranan dalam membantu meredakan konflik tersebut, selain mengkritik keberkesanan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dalam menyelesaikan pertikaian antarabangsa.
Ketegangan terbaharu tercetus awal bulan ini selepas kegagalan pelaksanaan gencatan senjata terdahulu, yang sebelum ini dibantu oleh Trump dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Thailand dan Kemboja telah lama berdepan pertikaian sempadan sejak lebih satu abad lalu, melibatkan beberapa kawasan yang belum dimuktamadkan sepanjang sempadan darat sejauh 817 kilometer, yang sekali-sekala mencetuskan pertempuran bersenjata. -REUTERS