WASHINGTON, 19 Julai – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump memfailkan saman terhadap Wall Street Journal (WSJ), syarikat induknya News Corp, serta pengasasnya Rupert Murdoch, berikutan laporan yang mendakwa beliau pernah menghantar ucapan hari jadi berbentuk lucah kepada Jeffrey Epstein pada 2003.
Saman itu difailkan di Mahkamah Persekutuan Daerah Selatan Florida pada Jumaat dan turut menamakan dua wartawan WSJ sebagai defendan. Tindakan undang-undang itu dibuat di bawah undang-undang fitnah persekutuan, namun salinan penuh dokumen saman masih belum didedahkan kepada umum.
Trump sebelum ini menafikan sekeras-kerasnya dakwaan laporan WSJ tersebut dan menyifatkannya sebagai palsu. Dalam satu hantaran di platform Truth Social pada pagi Jumaat, Trump mengulangi amaran yang pernah diberikannya sehari sebelum itu.
“Saya menantikan peluang untuk memanggil Rupert Murdoch memberikan keterangan dalam kes saman saya terhadap beliau dan akhbar ‘sampah’ miliknya, WSJ. Ia pasti satu pengalaman yang menarik!!!” katanya.
Setakat ini, pihak WSJ, Dow Jones, News Corp dan Murdoch belum mengeluarkan sebarang kenyataan balas.
Saman tersebut difailkan ketika Trump berdepan tekanan yang semakin memuncak berhubung hubungannya dengan Epstein, tokoh kewangan yang dihukum sebagai pesalah seks dan ditemui mati dalam sel penjara di New York pada 2019, dalam apa yang disimpulkan sebagai kes bunuh diri.
Kes Epstein terus menarik perhatian dan teori konspirasi, khususnya dalam kalangan penyokong tegar Trump yang percaya wujud usaha kerajaan untuk menyembunyikan kaitan Epstein dengan tokoh-tokoh elit.
Kemarahan penyokong Trump turut memuncak selepas pentadbiran beliau sendiri membatalkan janji untuk mendedahkan fail siasatan berkaitan Epstein.
Memo Jabatan Kehakiman yang diterbitkan pada 7 Julai lalu menyatakan Epstein membunuh diri dan menegaskan tiada senarai 'client' mahupun bukti dia memeras ugut individu berprofil tinggi.- REUTERS