BRUSSELS, 19 Julai – Kesatuan Eropah (EU) dan Britain mengumumkan penurunan had harga minyak Rusia sebagai sebahagian daripada tekanan ekonomi terbaru ke atas Moscow, dalam usaha mendesak penamatan perang di Ukraine.
Langkah itu adalah sebahagian daripada pakej sekatan ke-18 EU sejak pencerobohan Rusia ke atas Ukraine pada 2022. Ia turut menyasarkan sektor perbankan Rusia dan keupayaan ketenteraannya.
Menteri kewangan Britain, Rachel Reeves berkata UK menyertai EU dalam meningkatkan tekanan ekonomi ke atas Rusia dengan mengurangkan had harga yang bertujuan untuk menyekat pendapatan daripada eksport minyak utama.
"Ini adalah mengenai meningkatkan tekanan ke atas Rusia untuk mengurangkan keupayaan mereka untuk membiayai usaha perang mereka," kata Reeves di Afrika Selatan, bersempena perhimpunan G20.
Terdahulu, Ketua Dasar Luar EU, Kaja Kallas berkata “Mesejnya jelas, Eropah tidak akan berundur dalam menyokong Ukraine. EU akan terus meningkatkan tekanan sehingga Rusia menghentikan perang.”
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, yang menyambut baik sekatan baharu itu, menyifatkannya sebagai “penting dan tepat pada masanya.”
Pakej sekatan itu hanya diluluskan selepas Slovakia menarik balik bantahannya berikutan perbincangan dengan Brussels mengenai rancangan untuk menghentikan import gas dari Rusia secara berperingkat.
Perdana Menteri Slovakia, Robert Fico, yang cenderung kepada Kremlin, berkata beliau mendapat jaminan mengenai kestabilan harga gas pada masa hadapan.
Menteri Luar Perancis, Jean-Noel Barrot, pula menyifatkan tindakan EU itu sebagai “tidak pernah berlaku sebelum ini.”
“Bersama Amerika Syarikat (AS), kita akan memaksa Putin kepada gencatan senjata," katanya.
Namun, Kremlin memberi amaran bahawa langkah ini akan “memberi kesan buruk kepada Eropah sendiri” dan berikrar akan meminimumkan impaknya.
Had Harga Minyak Turun kepada 15 peratus di bawah harga pasaran. Had harga minyak yang diperkenalkan G7 pada 2022 ditetapkan pada AS$60 setong.
Kini, EU dan UK telah menetapkan harga baharu pada 15 peratus di bawah harga pasaran, bermula dengan paras awal sekitar AS$47.60 setong, dan boleh disesuaikan berdasarkan perubahan harga minyak global.
Namun begitu, keberkesanan langkah ini dipersoal kerana AS, khususnya di bawah Presiden Donald Trump masih belum menyatakan sokongan terhadap penyesuaian harga tersebut.
Selain had harga, EU turut menyenarai hitam lebih 100 kapal tangki lama yang dikaitkan dengan “armada bayangan” Rusia yang dipercayai digunakan untuk mengelak sekatan eksport minyak.
Sekatan juga dikenakan bagi menghalang kebangkitan semula saluran paip gas Nord Stream 1 dan 2 di Laut Baltik, yang tidak lagi beroperasi.
Walaupun sekatan demi sekatan telah dikenakan sejak lebih tiga tahun lalu, ekonomi Rusia masih belum lumpuh. Namun Barat menegaskan tanda-tanda tekanan semakin ketara dengan kadar faedah dan inflasi yang meningkat. - AFP