fb fb fb fb fb

Rakyat Brazil tuntut pembatalan segera tarif AS

Protes berlangsung di 25 de Março, kawasan beli-belah paling terkenal di Brazil/Foto AFP

SAO PAULO, 19 Julai – Rakyat Brazil turun membanjiri jalan-jalan utama di Sao Paulo untuk membantah tindakan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengenakan tarif 50 peratus ke atas semua produk dari negara itu.

Mereka menyifatkannya langkah itu sebagai satu bentuk "campur tangan asing" dan "ugutan ekonomi."

Protes itu berlangsung di 25 de Março, kawasan beli-belah paling terkenal di Brazil, di mana peserta membawa sepanduk mempertahankan pekerjaan tempatan, perniagaan kecil, dan kedaulatan negara.

“Kami tidak akan tinggalkan jalanan. Kami menuntut pembatalan serta-merta cukai 50 peratus terhadap produk Brazil,” kata Presiden Parti Demokratik Sosial Brazil (PSDB) bagi bandar Sao Paulo, Alcides Amazonas.

Beliau turut menyatakan bahawa keputusan Mahkamah Agung mewajibkan bekas presiden Jair Bolsonaro memakai gelang elektronik “belum mencukupi.”

Semasa protes, penunjuk perasaan memakai topeng dan kostum menggambarkan kedua-dua tokoh berhaluan kanan tersebut.

Seorang peserta yang juga guru sejarah, Fabio Chagas, 52, turut menyampaikan mesej tegas kepada komuniti antarabangsa.

"Yang menentukan masa depan dan haluan negara ini adalah rakyat Brazil. Kami tidak akan terima campur tangan atau arahan dari mana-mana negara di dunia," katanya.

Sementara itu, seorang lagi peserta, Alexander Silva, 34, menegaskan “Hak adalah sama untuk semua, tanpa mengira jawatan atau kedudukan politik dan sosial.”

Tarif yang diumumkan Trump pada 9 Julai lalu dijangka berkuat kuasa pada 1 Ogos ini sekiranya tiada persetujuan dicapai antara Washington dan Brasilia.

Tindakan itu dikatakan sebagai tindak balas terhadap dakwaan "pemburuan sihir" oleh kerajaan Brazil terhadap Bolsonaro, yang kini berdepan perbicaraan atas cubaan rampasan kuasa selepas kalah tipis dalam Pilihan Raya Umum Brazil 2022 kepada Presiden Lula da Silva. -AFP

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI