WASHINGTON, 31 Mei - Dalam satu majlis perpisahan di Rumah Putih pada Jumaat, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump memuji tokoh teknologi Elon Musk atas usahanya mengurangkan perbelanjaan kerajaan serta melaksanakan reformasi secara menyeluruh.
Trump berkata Musk melancarkan program reformasi kerajaan yang paling menyeluruh dan berimpak besar sejak beberapa generasi, semasa membuat penampilan bersama dengan usahawan kelahiran Afrika Selatan itu.
Presiden merujuk kepada peranan Musk menerusi Jabatan Kecekapan Kerajaan (Department of Government Efficiency, DOGE) yang dipimpinnya.
“Khidmat Elon kepada Amerika tidak ada tandingannya dalam sejarah moden,” kata Trump, menurut laporan agensi berita Jerman, dpa.
Beliau berkata, Musk berjaya menjimatkan berbilion dolar dana kerajaan dan membawa perubahan besar terhadap cara pentadbiran di Washington dijalankan.
Jumlah penjimatan yang dicapai oleh Musk dan pasukannya dijangka terus meningkat dari semasa ke semasa, kata Trump, sambil menyatakan bahawa rakyat Amerika terhutang budi atas sumbangan beliau.
Trump turut menyuarakan keyakinan bahawa Musk tidak akan berundur daripada arena politik sepenuhnya.
“Saya rasa beliau akan tetap ada. DOGE itu umpama ‘anak’ beliau,” kata Trump di Pejabat Oval, dengan Musk berdiri di sisinya.
Musk pula menyatakan hasrat untuk terus hadir ke Rumah Putih sebagai “sahabat dan penasihat.”
“Ini bukan penamat bagi DOGE, tetapi satu permulaan,” kata Musk.
Pada Rabu, Musk mengumumkan bahawa khidmatnya dalam kerajaan akan berakhir “seperti yang dirancang,” dan beliau akan kembali menumpukan kepada syarikat-syarikat yang dikendalikannya.
Status beliau sebagai “pegawai khas kerajaan” di bawah peraturan Amerika Syarikat hanya membenarkan perkhidmatan selama 130 hari, menjadikan tarikh akhir perkhidmatannya pada akhir Mei.- Bernama