(Penunjuk perasaan mengibarkan bendera dan memegang papan tanda membantah tindakan FBI baru-baru ini
di ibu pejabat Boston mereka di Chelsea, Massachusetts pada 21 Ogos 2022. Bantahan itu adalah sebagai reaksi terhadap
siasatan FBI terhadap bekas Presiden AS Donald Trump dan serbuan di rumahnya di Florida. / AFP)
WASHINGTON, 23 Ogos- Bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump bertegas untuk meminta Mahkamah Persekutuan menyekat sementara Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) daripada menyemak bahan yang dirampas dari rumahnya di Florida dua minggu lalu sehingga seorang pakar khas dilantik untuk menyelia semakan itu.
Permohonan Trump itu yang difailkan di Mahkamah Persekutuan di West Palm Beach, Florida turut menuntut Jabatan Kehakiman AS memberikannya maklumat harta yang lebih terperinci, menyatakan bahan yang dirampas FBI dari rumahnya di Mar-a-Lago semasa pencariannya pada 8 Ogos lalu.
Mendakwa dirinya telah menjadi sasaran atas sebab politik, Trump turut meminta penyiasat memulangkan sebarang rampasan di luar skop waran geledah.
"Pecah masuk, pencarian dan rampasan di Mar-a-Lago adalah menyalahi undang-undang dan tidak mengikut perlembagaan, dan kami mengambil semua tindakan yang perlu untuk mendapatkan semula dokumen itu," kata Trump dalam satu kenyataan.
"Mereka mengambil dokumen yang dilindungi oleh peguam-klien dan keistimewaan eksekutif," tambahnya.
Waran FBI menunjukkan bahawa Trump disyaki secara haram mengambil dokumen terperingkat tinggi dan rekod rasmi pentadbirannya dari White House yang tidak berhak dimilikinya dan enggan menyerahkannya semula.
Selain berpotensi melanggar undang-undang yang mengawal rekod yang sangat sensitif, jabatan itu menyatakan bahan-bahan itu juga penting dalam penyiasatan persekutuan yang tidak dinyatakan.
Siasatan kemungkinan melibatkan bekas presiden itu termasuk siasatan meluas terhadap serangan pada 6 Januari 2021 ke atas Kongres oleh penyokong Trump, dan siasatan bertindih ke atas usaha penyokongnya untuk mengganggu pilihan raya presiden 2020.
Dalam tuntutan mahkamah Trump berkata serbuan FBI adalah bermotifkan politik.
"Kerajaan telah lama melayan presiden Donald J. Trump secara tidak adil.
"Penguatkuasaan undang-undang tidak boleh digunakan sebagai senjata untuk tujuan politik," tambahnya. - AFP
(Donald Trump / AFP)