WASHINGTON, 12 Disember -Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, akan campur tangan bagi menyelesaikan konflik antara Thailand dan Kemboja.
Jelas beliau, “beberapa panggilan telefon” akan dibuat bagi menghidupkan semula usaha damai untuk kedua-dua negara.
Trump menyatakan perkara itu ketika berucap pada Congressional Ball di White House, sambil menyifatkan pentadbirannya sebelum ini telah membantu menyelesaikan lapan konflik.
“Thailand dan Kemboja, saya rasa saya perlu buat beberapa panggilan.
Tapi kita akan kembalikan semula usaha itu ke landasan yang betul,” katanya.
Kenyataan tersebut hadir ketika kedua-dua negara masih bergelut mengekang pertempuran baharu yang memasuki hari keempat.
Bangkok dan Phnom Penh kini menunggu perkembangan lanjut daripada Washington.
Rundingan damai Thailand–Kemboja sebelum ini dicapai selepas Trump, bersama peranan diplomatik China dan Malaysia, membantu memeterai gencatan senjata pada Julai.
Namun, insiden letupan periuk api di wilayah Sisaket baru-baru ini mencetuskan ketegangan semula.
Pada Khamis, Thailand dan Kemboja mengadakan rundingan susulan bagi meredakan keadaan, sementara menunggu kemungkinan penglibatan lanjut daripada Trump seperti yang disebutkan beliau. -REUTERS