fb fb fb fb fb

Trump gesa kerjasama dagangan baharu dengan Afrika

Donald Trump mengadakan sidang kemuncak bersama lima pemimpin Afrika Barat di White House.

WASHINGTON, 10 Julai - Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengadakan sidang kemuncak bersama lima pemimpin Afrika Barat di White House. Fokusnya adalah bagi memperkukuh hubungan perdagangan serta memastikan bekalan stabil sumber mineral kritikal.

Sidang meja bulat yang berlangsung di Ruang Makan Negara itu dihadiri oleh pemimpin dari Senegal, Liberia, Guinea-Bissau, Mauritania dan Gabon, kesemuanya merupakan negara yang kaya dengan sumber seperti emas, bijih besi, litium, mangan dan kobalt.

“Amerika Syarikat sedang berusaha membina peluang ekonomi baharu bersama banyak negara Afrika. Benua ini memiliki potensi ekonomi luar biasa dengan kawasan yang subur, simpanan minyak dan galian bernilai tinggi,” kata Trump dalam ucapan pembukaan.

Dalam pertemuan itu, Trump turut menegaskan bahawa pendekatan baharu pentadbirannya tidak lagi bergantung kepada bantuan asing secara tradisional, sebaliknya memberi tumpuan kepada kerjasama berasaskan perdagangan.

Sebagai langkah awal, pentadbiran Trump sebelum ini menutup Agensi Pembangunan Antarabangsa AS (USAID) dan mengenakan tarif import sebanyak 10 peratus ke atas beberapa negara Afrika, sambil menyatakan akan merundingkan semula kadar tarif dua hala.

“Beberapa negara Afrika mengenakan tarif tinggi ke atas kami. Mereka telah memaklumkan akan menurunkan kadar tersebut,” jelas beliau kepada media.

Presiden Liberia, Joseph Boakai dalam ucapannya menyatakan sokongan terhadap dasar “America First” dan menyifatkan hubungan Liberia-AS sebagai hubungan jangka panjang yang perlu diperkukuh melalui diplomasi ekonomi.

Sidang kemuncak ini juga bertujuan menyekat pengaruh semakin meningkat dari China dan Rusia di rantau Afrika, terutamanya dalam sektor perlombongan dan pelaburan infrastruktur.

Bagaimanapun, langkah pemotongan bantuan asing ke Afrika turut mencetuskan kebimbangan. Kajian yang diterbitkan dalam jurnal perubatan The Lancet menjangkakan bahawa perubahan dasar ini boleh menyebabkan lebih 14 juta kematian tambahan di peringkat global menjelang 2030.

TUN JULIA MOHD TAHIR