FLORIDA, 18 Oktober - Presiden Amerika Syarikat (AS) menggesa agar konflik antara Rusia dan Ukraine dihentikan segera.
Trump yang sebelum itu bertemu Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky di White House berkata situasi akan menjadi lebih rumit sekiranya ia tidak diselesaikan segera.
Tegasnya, kedua-dua pihak menghentikan pembunuhan serta mencapai perjanjian.
"Saya bertemu Zelensky seperti yang anda tahu hari ini, dan kami mengadakan pertemuan yang sangat baik, mesra dan harmoni.
"Pada pendapat saya, mereka (Zelensky dan Presiden Rusia, Vladimir Putin) sepatutnya menghentikan perang serta-merta. Ikut garisan pertempuran di mana sahaja ia berada. Jika tidak, ia terlalu rumit. Anda tidak akan dapat menyelesaikannya.
"Hentikan di garisan pertempuran dan kedua-dua pihak patut pulang ke rumah masing-masing, kembali kepada keluarga, hentikan pembunuhan. Itu sahaja," katanya ketika tiba di sini.
Walaupun Trump tidak menolak kemungkinan pembekalan peluru berpandu jarak jauh Tomahawk yang diminta Zelensky, beliau dilihat bersikap berhati-hati terhadap cadangan itu menjelang pertemuannya dengan Putin, di Hungary dalam beberapa minggu lagi. -REUTERS