BOGOTA, 18 Oktober - Pergaduhan ganas tercetus di ibu negara Colombia pada Jumaat apabila sekumpulan penunjuk perasaan, termasuk individu dikenal pasti sebagai masyarakat pribumi, bertembung dengan polis berhampiran Kedutaan Amerika Syarikat.
Menurut Datuk Bandar Bogota, Carlos Fernando Galan, penunjuk perasaan bertindak membaling mercun, bahan letupan dan anak panah, menyebabkan empat anggota polis cedera.
Beliau mengecam tindakan tersebut, sambil menjelaskan kumpulan individu bertopeng terbabit menyerang polis menggunakan bahan letupan, bahan pembakar serta busur dan anak panah.
Pihak berkuasa kemudian menggunakan trak meriam air bagi menyuraikan orang ramai.
Kekecohan itu berlaku ketika tunjuk perasaan lebih besar dianjurkan oleh Congress of the Peoples, sebuah pertubuhan mewakili komuniti pribumi dan petani yang berhimpun di ibu negara bagi menyuarakan tuntutan mereka.-REUTERS