fb fb fb fb fb

Putera Andrew lepas gelaran Duke Of York

Putera Andrew / REUTERS

LONDON, 18 Oktober - Putera Britain, Putera Andrew, pada Jumaat mengumumkan akan melepaskan gelaran Duke of York selepas bertahun-tahun menerima kecaman berhubung kelakuannya dan hubungannya dengan pesalah seks warga Amerika Syarikat yang sudah meninggal dunia, Jeffrey Epstein.

Reputasi Andrew, adik kepada Raja Charles dan anak kedua mendiang Ratu Elizabeth, tercalar teruk dalam beberapa tahun kebelakangan ini, terutama disebabkan kaitannya dengan Epstein.

Selain itu, turut didedahkan bahawa salah seorang rakan niaga rapatnya dipercayai oleh kerajaan sebagai perisik China.

Andrew, 65 tahun, yang kini berada di tangga kelapan dalam senarai pewaris takhta, dahulunya dikenali sebagai pegawai tentera laut yang kacak dan pernah berkhidmat dalam Perang Falklands menentang Argentina pada awal 1980-an.

Namun, beliau kemudiannya mendapat jolokan sebagai ‘putera playboy’, dan pada tahun 2022, telah dilucutkan sebahagian besar gelaran serta digugurkan daripada menjalankan tugas rasmi diraja akibat hubungannya dengan Epstein.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE