MADINAH, 18 Oktober - Indeks Keupayaan Sektor Awam 2025 menonjolkan kekuatan Madinah dalam bidang inovasi bandar dan pembangunan keupayaan institusi, menurut laporan pertama yang menilai keupayaan bandar untuk menyesuaikan diri dan melakukan transformasi, lapor Agensi Berita Arab Saudi (SPA).
Diterbitkan oleh University College London Institute for Innovation and Public Purpose dengan kerjasama Bloomberg Philanthropies, penyelidikan lapangan ini dijalankan di 45 bandar, melibatkan lebih 200 pegawai kerajaan dan 100 pakar antarabangsa.
Madinah cemerlang dalam mengadaptasi metodologi inovatif dan membangunkan mekanisme tadbir urus tempatan, terutamanya melalui “Model Kecemerlangan Kerajaan Inovatif di Madinah” yang dibangunkan oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Al Madinah bersama pihak perbandaran wilayah itu.
Model ini menggalakkan kerjasama, inovasi dan fleksibiliti untuk meningkatkan integrasi antara kerajaan, sektor swasta dan komuniti.
Pencapaian ini mencerminkan komitmen kepimpinan Madinah, yang dipimpin oleh Gabenor Madinah, Putera Salman bin Sultan bin Abdulaziz dalam usaha mempertingkat kualiti hidup dan perkhidmatan kepada penduduk dan pelawat, selaras dengan matlamat Wawasan Saudi 2030.
Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Al Madinah bersama rakannya juga berhasrat untuk meluaskan model ini ke bidang seperti kemampanan, transformasi digital dan pertumbuhan ekonomi, sekali gus mengukuhkan kedudukan Madinah sebagai peneraju dalam pembangunan mampan dan inovasi institusi. -BERNAMA-SPA