WASHINGTON, 18 Julai – Nama Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, didakwa muncul dalam nota peribadi berunsur lucah bertarikh 2003 yang ditujukan kepada Jeffrey Epstein, menurut laporan Wall Street Journal (WSJ), semalam.
Bagaimanapun, Trump menafikan perkara itu menerusi platform media sosial Truth Social, menyifatkan surat berkenaan sebagai palsu dan mengumumkan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap WSJ serta Rupert Murdoch, pemilik syarikat penerbitannya, News Corp.
Laporan WSJ mendakwa surat tersebut merupakan antara beberapa kandungan dalam sebuah album kulit yang dihasilkan sempena sambutan ulang tahun ke-50 Epstein, kira-kira tiga tahun sebelum timbul dakwaan jenayah seksual terhadap hartawan itu.
Agensi berita Reuters setakat ini belum dapat mengesahkan kesahihan dokumen terbabit.
Dalam kenyataan lanjut, Trump berkata beliau telah meminta Peguam Negara, Pam Bondi, supaya mengemukakan semua transkrip relevan daripada prosiding juri besar berkaitan kes Epstein, tertakluk kepada kelulusan mahkamah.
Susulan kenyataan itu, Bondi menerusi platform X memaklumkan bahawa Jabatan Kehakiman bersedia mengemukakan permohonan kepada mahkamah hari ini bagi membuka dokumen berkenaan.-REUTERS