GAZA, 18 Julai – Beberapa letupan kuat dilaporkan menggegarkan ruang udara utara Gaza awal pagi Jumaat, disusuli dentuman yang kedengaran di sekitar kawasan terbabit.
Insiden itu berlaku susulan laporan portal Axios yang mendedahkan satu cadangan baharu gencatan senjata telah dikemukakan oleh Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat kepada Israel dan kumpulan Hamas.
Menurut sumber, rundingan antara Israel dan Hamas kini sedang berlangsung di Doha sejak 6 Julai lalu, dengan fokus kepada pelaksanaan cadangan gencatan senjata selama 60 hari yang disokong Amerika Syarikat.
Setakat ini, serangan ketenteraan Israel ke atas Gaza dilaporkan telah meragut lebih 58,000 nyawa rakyat Palestin, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.-REUTERS