fb fb fb fb fb

Presiden Syria sahkan penarikan balik tentera dari Suwayda

FOTO AFP

ISTANBUL, 18 Julai - Kerajaan Syria mengesahkan bahawa pihaknya telah menarik balik pasukan tenteranya dari wilayah selatan Suwayda, atas alasan untuk mengelakkan peningkatan ketegangan dan sebagai tindak balas kepada usaha pengantaraan Amerika Syarikat (AS) dan negara Arab, lapor Anadolu Ajansi (AA) yang memetik laporan media tempatan awal Jumaat.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Presiden Republik Arab Syria, keputusan untuk menggerakkan semula pasukan ke lokasi asal dibuat “dalam kerangka komitmen negara Syria untuk mengelakkan peningkatan ketegangan” susulan rundingan pengantaraan yang diadakan lewat Rabu.

Langkah itu, menurut kenyataan berkenaan, dibuat berdasarkan jaminan bahawa “kumpulan tidak sah” tidak akan melancarkan tindakan balas yang ganas atau mencederakan orang awam.

“Apa yang berlaku selepas itu jelas melanggar persefahaman tersebut apabila kumpulan terbabit melancarkan kempen keganasan yang dahsyat dan telah didokumentasikan oleh seluruh dunia, termasuk jenayah mengerikan yang bertentangan sepenuhnya dengan tanggungjawab pengantaraan, secara langsung mengancam keamanan awam serta menolak negara ke arah huru-hara dan keruntuhan keselamatan,” menurut kenyataan itu.

Kerajaan Syria turut menggesa semua pihak agar berlapang dada dan menekankan kepentingan untuk mengembalikan semula kuasa negara di rantau berkenaan.

Kerajaan mengulangi pendiriannya berhubung perpaduan nasional dan perlindungan terhadap semua rakyat tanpa mengira latar belakang, serta merayu sokongan antarabangsa bagi menstabilkan negara itu.

“Negara Syria menegaskan kembali komitmennya yang tidak berbelah bahagi untuk melindungi semua rakyat Syria, tanpa mengira latar belakang mazhab atau etnik.

“Negara Syria juga menyeru komuniti antarabangsa agar menyokong usaha untuk memulihkan kestabilan, mengawal senjata yang tidak terkawal dan menegakkan kedaulatan undang-undang di seluruh wilayah Syria.”

Kenyataan itu turut mengecam apa yang disifatkan sebagai campur tangan berterusan Israel dalam urusan dalaman Syria.

“Negara juga memberi amaran terhadap campur tangan terang-terangan Israel dalam hal ehwal dalaman Syria yang hanya membawa kepada lebih banyak kekacauan dan kemusnahan, sekali gus merumitkan lagi keadaan serantau.”

Pejabat Presiden menutup kenyataan itu dengan menegaskan semula tanggungjawab negara dalam mempertahankan kedaulatan dan keselamatan rakyatnya.- BERNAMA-ANADOLU

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE