fb fb fb fb fb

Wartawan Pakistan hanyut ketika siaran langsung liputan banjir

FOTO VIORY

ISLAMABAD, 18 Julai – Seorang wartawan televisyen Pakistan, Ali Musa Raza dilaporkan hanyut dibawa arus deras ketika membuat liputan secara langsung mengenai bencana banjir di Koh Sulaiman, berhampiran Sakhi Sarwar di selatan Punjab.

Insiden cemas itu berlaku ketika Raza sedang membuat laporan untuk saluran tempatan Ruhi TV pada Isnin, di tengah-tengah kawasan yang dilanda banjir besar susulan hujan lebat berterusan.

Dalam rakaman tular, hanya kepala dan mikrofon Raza kelihatan di atas permukaan air ketika beliau bergelut dengan arus yang semakin deras.

“Anda boleh lihat air sedang menolak saya ke hadapan, sukar untuk berdiri dengan stabil di sini. Saya rasa saya perlu ambil langkah keselamatan segera,” katanya dalam laporan tersebut, sebelum dihanyutkan arus sejurus selepas memberi amaran bahawa keadaan semakin buruk.

Setakat ini, status terkini wartawan berkenaan masih belum disahkan secara rasmi.

Sementara itu, pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan Pakistan (NDMA) melaporkan lebih 120 kematian direkodkan dalam tempoh tiga minggu akibat insiden berkaitan cuaca ekstrem.

Kebanyakan mangsa dilaporkan maut akibat runtuhan rumah, kejadian lemas, renjatan elektrik serta banjir kilat yang melanda kawasan pergunungan dan luar bandar menjelang musim monsun yang dijangka membawa risiko lebih tinggi.

Hujan lebat di kawasan suku kaum Koh Sulaiman dalam wilayah Dera Ghazi Khan turut menyebabkan limpahan sungai dan anak sungai, memutuskan hubungan jalan serta mengasingkan beberapa kampung dari kawasan utama.-VIORY

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE