KUALA LUMPUR, 11 Julai - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mencalonkan Nick Adams, seorang pengulas politik konservatif kelahiran Australia yang kini merupakan warganegara AS sebagai Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia.
“Nick merupakan seorang nasionalis yang luar biasa dan usahawan yang berjaya, cintanya dan pengabdiannya kepada negara kita yang hebat adalah satu inspirasi. Beliau juga penulis buku terlaris, penceramah dan pengulas yang terkenal,” jelas Trump menerusi hantaran di platform Truth Social miliknya, pada Khamis.
Tambah Trump, Adams yang merupakan lulusan Universiti Sydney telah mendedikasikan dirinya untuk memperjuangkan 'Nilai Kehebatan Amerika', sambil mengucapkan tahniah kepadanya di atas pencalonan tersebut.
Adams merupakan penyokong tegar Trump yang aktif berkempen untuk beliau dalam pilihan raya presiden 2024.
Jika dilantik ke jawatan tersebut, beliau akan menggantikan Edgard Kagan, seorang diplomat profesional yang dicalonkan untuk jawatan itu oleh bekas Presiden Joe Biden pada Mei 2023.