SULAIMANIYAH, 11 Julai - Pejuang Parti Pekerja Kurdistan (PKK) dijadual memulakan proses peletakan senjata dalam satu upacara di Kurdistan pada Jumaat.
Upacara pelucutan senjata itu menandakan titik perubahan PKK daripada pemberontakan bersenjata kepada politik demokratik,
Perkara berkenaan turut dilihat sebagai sebahagian daripada usaha untuk menamatkan salah satu konflik paling lama di rantau tersebut.
PKK, yang diasaskan pada akhir 1970-an oleh Abdullah Ocalan, mula mengangkat senjata pada tahun 1984, melancarkan siri serangan berdarah di wilayah Turkiye yang mencetuskan konflik dan meragut lebih 40,000 nyawa.
Namun selepas lebih empat dekad, PKK pada Mei lalu mengumumkan pembubarannya, menyatakan bahawa ia akan memperjuangkan hak minoriti Kurdish secara demokratik selaras dengan seruan Ocalan, yang kini menjalani hukuman penjara seumur hidup di Turkiye sejak 1999.
Upacara tersebut yang dijadualkan berlangsung pada pagi Jumaat di lokasi rahsia di kawasan pergunungan Kurdistan yang merupakan lokasi persembunyian sebahagian besar pejuang PKK sejak sedekad lalu.
Sumber PKK memberitahu AFP bahawa kira-kira 30 pejuang akan memusnahkan senjata mereka sebelum kembali ke kawasan pergunungan.
“Sebagai isyarat muhibah, beberapa pejuang PKK yang terlibat dalam pertempuran dengan tentera Turkiye dalam beberapa tahun kebelakangan ini akan memusnahkan atau membakar senjata mereka dalam satu upacara,” kata seorang komander PKK yang enggan didedahkan.
Permulaan proses pelucutan senjata PKK merupakan langkah penting dalam rundingan yang telah berlangsung selama beberapa bulan antara Ocalan dan Ankara sejak Oktober lalu.
“Saya percaya kepada kuasa politik dan keamanan sosial, bukan senjata.
"Dan saya menyeru anda agar melaksanakan prinsip ini,” kata Ocalan dalam video yang dikeluarkan pada Rabu, sambil berikrar bahawa proses pelucutan senjata akan “dilaksanakan dengan segera”.
Presiden Turkiye, Erdogan pula berkata usaha damai dengan etnik Kurdish akan lebih mudah selepas PKK meletakkan senjata.
“Proses ini akan berjalan lebih pantas apabila organisasi pengganas itu mula melaksanakan keputusannya untuk melucutkan senjata,” katanya.
“Kami berharap proses yang penuh keberkatan ini akan berjaya diselesaikan secepat mungkin, tanpa sebarang insiden atau cubaan sabotaj,” tambah beliau pada Rabu.
Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, PKK telah mengambil beberapa langkah bersejarah, bermula dengan gencatan senjata dan akhirnya mengumumkan pembubaran secara rasmi pada 12 Mei.
Peralihan ini berlaku selepas seruan oleh Ocalan pada 27 Februari, yang telah menjalani hukuman dalam tahanan bersendirian di pulau Imrali berhampiran Istanbul selama 26 tahun.-AFP.