MOSCOW, 11 Julai – Kementerian Pertahanan Rusia melaporkan angkatan tenteranya melancarkan serangan berskala besar ke atas lapangan terbang dan kemudahan ketenteraan Ukraine, pada Khamis.
Manakala pihak Ukraine menyatakan bahawa Rusia turut melancarkan satu lagi siri serangan udara ke atas Kiev dan beberapa lokasi lain.
Dalam taklimat harian Kementerian Pertahanan Rusia, pihaknya memaklumkan bahawa serangan tersebut menggunakan senjata jarak jauh berketepatan tinggi dan dron yang menyasarkan kemudahan ketenteraan Ukraine sepanjang tempoh 24 jam lalu.
Tentera Rusia turut mematahkan beberapa serangan balas tentera Ukraine di Kharkiv, Donetsk, dan Dnipropetrovsk, serta melancarkan beberapa serangan ofensif yang memusnahkan sejumlah besar peralatan ketenteraan.
Pada hari yang sama, Kementerian Pertahanan Rusia turut mengedarkan rakaman video yang menunjukkan pelancaran peluru berpandu ke atas lokasi penempatan tentera Ukraine di wilayah Nikolaev.
Sementara itu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, dalam kenyataannya memaklumkan bahawa Rusia telah melancarkan serangan udara berterusan ke atas Kiev dan beberapa kawasan lain yang berlangsung hampir 10 jam.
Tentera Udara Ukraine dalam hantaran di media sosial memaklumkan bahawa lapan kawasan di Ukraine telah menjadi sasaran serangan udara tersebut.
Sehingga pukul 10.00 pagi Khamis, pasukan pertahanan udara Ukraine dilaporkan telah memintas sebanyak 382 sasaran udara dan ia merupakan hari kedua berturut-turut Ukraine diserang melalui serangan udara berskala besar. -REUTERS