BEIJING, 11 Julai – China menegaskan bahawa rundingan kerjasama pembinaan kapal antara Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan tidak seharusnya menjejaskan kepentingan pihak ketiga.
Ia susulan laporan bahawa Washington sedang berusaha mendapatkan sokongan Seoul untuk mengekang penguasaan pasaran China yang semakin meningkat.
"Tiada sebarang perjanjian atau rundingan harus merugikan kepentingan pihak ketiga," tegas jurucakap Kementerian Luar China, Mao Ning, dalam satu sidang media, pada Jumaat.
Beliau turut menyeru agar semua pihak menyelesaikan isu perdagangan melalui dialog serta mengelakkan konfrontasi.
Kenyataan itu dibuat selepas Pengarah Dasar Perdagangan Korea Selatan, Chang Sung-gil, memaklumkan bahawa AS telah meminta Seoul untuk menyertai langkah-langkah mengekang China dalam 'bidang lain' sebagai pra-syarat untuk menjalin kerjasama dua hala dalam sektor pembinaan kapal.
Beliau bagaimanapun tidak menghuraikan lanjut mengenai bidang-bidang tersebut.
Chang kemudiannya menjelaskan bahawa sektor pembinaan kapal merupakan bidang yang dimaksudkan oleh AS di mana negara itu mahu Korea Selatan berganding bahu dalam menghadapi persaingan daripada China.
Pasaran pembinaan kapal global ketika ini menyaksikan persaingan sengit antara tiga kuasa besar industri iaitu China, Korea Selatan dan Jepun, dengan China dilaporkan semakin mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju utama dalam sektor tersebut. -REUTERS