WASHINGTON, 4 Jun - Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump akan menandatangani perintah eksekutif hari ini, yang mengesahkan ikrarnya untuk menggandakan tarif ke atas keluli dan aluminium.
Setiausaha Akhbar White House, Karoline Leavitt dalam taklimat kepada pemberita berkata tarif keluli dan aluminium akan meningkat kepada 50%.
"Presiden akan menandatangani perintah eksekutif itu hari ini dan tarif keluli dan aluminium akan meningkat kepada 50%. Trump membuat pengumuman itu di Pennsylvania dan beliau bercadang untuk melaksanakan janji itu kepada Pennsylvania." kata Leavitt ketika ditanya wartawan.
Trump pada Jumaat (30 Mei) mengumumkan bahawa beliau akan menaikkan tarif ke atas dua logam itu daripada 25% kepada 50%. Pada hari Isnin, harga keluli dan aluminium di AS terus melonjak manakala saham pembuat keluli asing jatuh merudum.
Sementara itu, Leavitt memaklumkan White House juga sedang memantau rapi pematuhan China terhadap perjanjian tarif bulan lalu.
Beliau turut mengulangi bahawa Trump akan berbincang dengan Presiden China Xi Jinping mengenai perkara itu tidak lama lagi.
"Saya boleh memberi jaminan bahawa pentadbiran AS sedang giat memantau pematuhan China terhadap perjanjian perdagangan Geneva, pegawai kami akan terus terlibat dalam surat-menyurat dengan rakan sejawatan mereka dari Beijing," katanya. -REUTERS