fb fb fb fb fb

Trinidad dan Tobago isytihar darurat susulan ancaman geng dari dalam penjara

Foto Reuters

RIO DE JANEIRO, 20 Julai - Kerajaan Trinidad dan Tobago mengisytiharkan darurat di seluruh negara buat kali kedua dalam tempoh kurang setahun susulan ancaman “terkoordinasi dan sangat berbahaya” daripada rangkaian jenayah yang beroperasi dari dalam penjara, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Pesuruhjaya Polis Allister Guevarro berkata pada Jumaat bahawa kumpulan geng berkenaan merancang untuk melancarkan serangan terhadap pasukan keselamatan dan institusi kerajaan.

Difahamkan, banduan terbabit menggunakan telefon seludup dan rakan subahat di luar penjara untuk merancang serangan terhadap anggota polis, hakim dan pendakwa raya.

“Skala, koordinasi dan penglibatan dalaman dalam kegiatan ini menunjukkan keupayaan operasi yang melangkaui kemampuan penguatkuasaan undang-undang konvensional,” menurut kenyataan kerajaan.

Perdana Menteri Kamla Persad-Bissessar berikrar akan mengambil tindakan tegas.

“Saya tidak akan berdiam diri selama bertahun-tahun, berbulan-bulan, berminggu-minggu atau bahkan beberapa hari sementara segelintir individu bersenjata haram bertindak secara bersekongkol untuk menakutkan rakyat Trinidad dan Tobago,” katanya dalam satu kenyataan.

Langkah darurat itu bertujuan memberikan kuasa lebih luas kepada pasukan keselamatan untuk menahan individu dan memindahkan banduan bagi mematahkan struktur komando yang berpangkalan di penjara.

Buat masa ini, tiada rancangan untuk melaksanakan perintah berkurung waktu malam di seluruh negara.

Negara itu pernah melaksanakan langkah serupa pada Disember tahun lalu.

Trinidad dan Tobago kini bergelut dengan kadar pembunuhan antara tertinggi di dunia.

Pada 2024, negara kepulauan berkembar yang mempunyai kira-kira 1.5 juta penduduk itu mencatat lebih 600 kes pembunuhan buat kali kedua dalam tempoh tiga tahun.- BERNAMA

AZRUL FAIZAL JUSOH