SWEIDA, 20 Julai - Penduduk Badwi Syria dan sekutu mereka terus bertempur dengan pejuang Druze di kawasan Sweida, wilayah Druze pada Sabtu, hari ketujuh pertempuran walaupun telah dikeluarkan arahan gencatan senjata oleh kerajaan susulan perjanjian yang dimediasi Amerika Syarikat (AS) untuk mengelakkan campur tangan tentera Israel.
Pertempuran berlaku di bahagian barat ibu negeri wilayah itu, ketika penyokong Druze bertempur dengan penduduk Badwi bersenjata yang disokong oleh penembak dari suku bahagian lain di Syria.
Kementerian Dalam Negeri mengumumkan bahawa pasukan keselamatan dalaman telah mula dikerahkan di wilayah Sweida dan mereka berkawal di sekatan jalan raya untuk menghalang orang ramai menyertai pertempuran.
Lebih 900 orang terbunuh di Sweida sejak Ahad dalam pertempuran perkauman antara Druze dan Badwi.
“Kami akan sembelih mereka (Druze) di rumah mereka.” Kata seorang anggota bersenjata yang hanya memperkenalkan dirinya sebagai Abu Jassem.
Perjanjian antara kerajaan Syria dan Israel diumumkan oleh Washington awal pagi Sabtu waktu Damsyik.
Jurucakap khas AS untuk Syria, Tom Barrack, berkata Presiden Interim Ahmed al‑Sharaa dan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu telah bersetuju dengan gencatan senjata yang dinegosiasikan oleh Amerika Syarikat.
Barrack, yang juga duta AS ke Ankara mengatakan perjanjian itu disokong oleh Turki, penyokong utama Sharaa, serta jiran Syria, Jordan.
“Kami menyeru Druze, Badwi dan Sunni untuk menurunkan senjata mereka dan bersama minoriti lain membina identiti Syria yang baharu dan bersatu dalam keamanan dan kemakmuran bersama jiran,” katanya di X.
Barrack kemudian mengadakan pertemuan di Amman dengan ketua diplomat Syria dan Jordan dan mereka bersetuju tentang langkah praktikal untuk menyokong Syria dalam melaksanakan perjanjian itu.
Presiden Ahmed al‑Sharaa membalas pengumuman AS itu dengan ucapan di televisyen dengan berikrar untuk melindungi minoriti etnik dan agama Syria.
“Negara Syria komited untuk melindungi semua minoriti dan komuniti dalam negara, kami mengutuk semua jenayah yang dilakukan di Sweida." katanya.
Presiden Sharaa turut memberi penghargaan kepada peranan penting dimainkan oleh AS, sekali lagi menunjukkan sokongannya terhadap Syria dalam situasi sukar dan keprihatinannya terhadap kestabilan negara.-AFP