GAZA, 20 Julai- Angka kematian rakyat Palestin di Gaza meningkat kepada 58,765 orang, manakala seramai 140,485 lagi cedera sejak konflik antara Hamas dan Israel tercetus pada 2023.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza pada Sabtu, sejak tentera Israel menyambung semula operasi ketenteraan di wilayah itu pada 18 Mac tahun ini, sebanyak 7,938 kematian telah direkodkan manakala 28,444 orang cedera.
Dalam tempoh 48 jam lalu, serangan tentera Israel telah meragut 98 nyawa dan mencederakan 511 individu.
Menurut kenyataan itu lagi, serangan pada pagi hingga petang Sabtu telah mengorbankan 70 penduduk Palestin, termasuk 36 individu yang sedang menunggu bantuan kemanusiaan.
Jabatan Pertahanan Awam Gaza memaklumkan bahawa tentera Israel melancarkan serangan berhampiran dua lokasi pengagihan bantuan di Khan Younis dan Rafah.
Situasi itu mengakibatkan 26 individu maut ketika sedang menunggu giliran menerima bantuan. -REUTERS