fb fb fb fb fb

Trak bantuan terkandas di sempadan Gaza

Foto REUTERS

GAZA, 28 Mei - Beberapa buah trak yang membawa bantuan kemanusiaan dilaporkan terkandas pada Rabu berhampiran lintasan sempadan Kerem Shalom antara Israel dan Gaza walaupun sekatan terhadap wilayah itu dilonggarkan minggu lalu.

Rejim Zionis hanya membenarkan sebahagian kecil trak bantuan daripada agensi antarabangsa memasuki Gaza namun jumlah tersebut masih belum mencukupi berbanding sebelum ini yang membolehkan 500 hingga 600 trak bantuan.

Semalam, ribuan penduduk Palestin menyerbu sebuah tapak pengagihan bantuan di Gaza yang dikendalikan sebuah yayasan disokong Amerika Syarikat dan Israel.

Tindakan itu dibuat kerana terdesak mendapatkan makanan, meskipun terdapat kebimbangan mengenai pemeriksaan biometrik dan kawalan keselamatan yang diumumkan pihak Israel.

Yayasan Kemanusiaan Gaza dalam satu kenyataan memaklumkan, lebih 8,000 kotak makanan, bersamaan 462,000 hidangan, berjaya diagihkan sejak sekatan penuh dikenakan ke atas wilayah itu selama 11 minggu.

Sementara itu, World Central Kitchen (WCK) yang berpangkalan di Amerika Syarikat memaklumkan bahawa beberapa trak bantuannya telah dibenarkan memasuki lintasan Kerem Shalom, namun bantuan itu masih ditahan di sempadan dan belum disalurkan ke Gaza.

Gaza kini terus berdepan krisis kemanusiaan kritikal susulan konflik berpanjangan, dengan bekalan makanan, ubat-ubatan dan keperluan asas masih tidak mencukupi bagi lebih dua juta penduduknya. - REUTERS

MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD ZUHAIRIE