fb fb fb fb fb

Tragedi Wang Fuk Court: Raja Charles zahir takziah kepada keluarga mangsa

Baginda bertitah menerusi kenyataan rasmi yang dikeluarkan Istana Buckingham

LONDON, 29 November - Raja Britain, Raja Charles III, menyampaikan ucapan takziah dan menzahirkan rasa dukacita susulan tragedi kebakaran bangunan pangsapuri di Hong Kong yang meragut 128 nyawa.

Baginda bertitah menerusi kenyataan rasmi yang dikeluarkan Istana Buckingham.

“Seluruh ingatan dan doa kami bersama keluarga yang kehilangan insan tersayang, serta mereka yang masih hidup dalam keadaan terkejut dan tidak pasti selepas tragedi yang dahsyat ini", titah baginda.

Baginda turut menyanjung “keberanian luar biasa” pasukan penyelamat dan komitmen masyarakat setempat yang terus membantu mangsa sejak insiden berlaku.

Menurut pihak berkuasa Hong Kong, angka korban dijangka meningkat kerana 200 penduduk masih belum ditemui.

Manakala operasi mencari dan mengenal pasti mangsa diteruskan.

Setakat ini, polis telah menahan 11 individu bagi membantu siasatan berhubung kemungkinan wujudnya unsur rasuah serta penggunaan bahan binaan tidak selamat ketika kerja pengubahsuaian dilakukan di kompleks Wang Fuk Court di Tai Po.

Kebakaran yang tercetus pada Rabu petang itu merebak dengan cepat ke tujuh daripada lapan blok 32 tingkat.

Kebakaran dipercayai bermula daripada jaring pelindung di tingkat bawah sebelum merebak pantas dibantu papan mudah terbakar serta perancah buluh yang dipasang pada bangunan.

Ketua Jabatan Bomba Hong Kong, Andy Yeung, mengesahkan sistem penggera di semua blok gagal berfungsi, dan tindakan tegas akan diambil terhadap kontraktor terlibat. - REUTERS

GRACE AISYAH KEDAYAN