JEMBRANA, 13 Julai - Seorang nelayan di Bali menemukan mayat seorang wanita pada Sabtu, dipercayai seorang daripada 18 mangsa yang masih hilang selepas feri Tunu Pratama Jaya karam di Selat Bali, Indonesia pada 2 Julai lepas, lapor Agensi Berita ANTARA.
Menurut pegawai tempatan, mayat itu ditemukan oleh Adi Presetyo di perairan kira-kira empat kilometer dari pesisir Pantai Kampung Pengambengan, Daerah Kecil Negara, Daerah Jembrana, Bali.
Pasukan penyelamat kemudian membawa mayat itu ke pos kawalan di Perkampungan Desa Pabuahan, Desa Banyubiru, Daerah Kecil Negara, kata Pemangku Ketua Agensi Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Jembrana, I Putu Agus Artana Putra.
“Mayat yang ditemukan telah dibawa ke Hospital Awam Blambangan di Daerah Banyuwangi, Jawa Timur, untuk proses pengecaman,” katanya.
Putra menambah bahawa para nelayan Pabuahan sebelum ini turut menjumpai beberapa mayat mangsa feri karam semasa turun ke laut menangkap ikan.
Sementara itu, Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional Indonesia (Basarnas) melanjutkan operasi pencarian atas dasar kemanusiaan dari Sabtu, 12 Julai hingga Isnin, 14 Julai, selepas lanjutan tiga hari sebelumnya berakhir pada 11 Julai.
Timbalan Ketua Operasi dan Kesiapsiagaan Basarnas Ribut Eko Suyanto sebelum ini berkata pihaknya akan menilai semula sama ada tempoh pencarian perlu dilanjutkan lagi.
Sehingga petang Jumaat, hari ke-10 operasi pencarian, jumlah kematian akibat tragedi feri itu meningkat kepada 17 orang, 30 terselamat dan 18 lagi masih hilang.
Feri jenis roro Tunu Pratama Jaya membawa 53 penumpang, 12 anak kapal dan 22 kenderaan ketika berlepas dari Pelabuhan Ketapang di Banyuwangi, Jawa Timur pada 10.56 malam waktu tempatan, 2 Julai 2025.
Kapal itu karam semasa dalam perjalanan ke Pelabuhan Gilimanuk di Bali sekitar 11.35 malam hari yang sama.
Susulan tragedi itu, Presiden Prabowo Subianto mengarahkan semua agensi kerajaan berkaitan untuk menggiatkan usaha mencari dan menyelamat kesemua mangsa feri berkenaan.- BERNAMA/ANTARA