SEOUL, 13 Julai - Kementerian Dalam Negeri Korea Selatan pada Ahad memaklumkan bahawa pihaknya telah mengadakan mesyuarat tergempar bersama agensi-agensi kerajaan berkaitan bagi membincangkan langkah kesiapsiagaan menghadapi hujan lebat yang dijangka melanda kawasan selatan dan pesisir timur negara itu, lapor Agensi Berita Yonhap.
Menurut agensi kaji cuaca negara itu, hujan lebat antara 100 hingga 150 milimeter dijangka berterusan sehingga Isnin di kawasan selatan serta pesisir timur wilayah Gangwon dan Wilayah Gyeongsang Utara.
Dalam mesyuarat itu, kerajaan memutuskan untuk menyemak semula langkah-langkah kecemasan, khususnya di kawasan terjejas akibat kebakaran hutan, yang berisiko tinggi mengalami tanah runtuh dan bersedia memindahkan penduduk berhampiran sekiranya perlu.
“Kerajaan akan memantau keadaan cuaca secara rapi dan akan berusaha sebaik mungkin untuk menguruskan situasi ini serta mengambil tindakan sewajarnya dengan pantas,” kata Ketua Ibu Pejabat Pengurusan Keselamatan Bencana, Kim Kwang-yong.-BERNAMA/YONHAP