NEW YORK, 13 Julai - Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA), memberi amaran mengenai peningkatan mendadak kes kekurangan zat makanan di Gaza, terutama dalam kalangan kanak-kanak dan golongan rentan, ekoran kekurangan bekalan perubatan penting yang kritikal.
Menurut Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA), UNRWA dalam satu kenyataan yang disiarkan pada Ahad di laman sesawang rasmi agensi itu memaklumkan, kliniknya di seluruh Gaza merekodkan peningkatan ketara kes kekurangan zat makanan sejak bermulanya sekatan ketat oleh Israel pada Mac.
UNRWA menegaskan, sekatan terhadap kemasukan bantuan kemanusiaan, termasuk makanan dan ubat-ubatan, memburukkan lagi keadaan kesihatan dan kehidupan yang sedia kritikal bagi penduduk awam Palestin.
Agensi itu menyeru masyarakat antarabangsa untuk segera memastikan penghantaran bekalan yang dapat menyelamatkan nyawa serta mengambil tindakan tegas bagi menamatkan krisis kemanusiaan yang semakin meruncing.
UNRWA memberi amaran keruntuhan infrastruktur penjagaan kesihatan, ditambah pula dengan kadar kemiskinan yang melonjak dan ketakjaminan makanan, sedang menjerumuskan penduduk terutama kanak-kanak dan wanita ke jurang kecemasan kemanusiaan yang semakin parah.- BERNAMA/WAFA