NEW DELHI, 12 Julai - Laporan awal siasatan nahas pesawat Air India mendapati suis kawalan bahan api enjin pesawat telah dipindah daripada posisi 'run' (beroperasi) kepada 'cutoff' (henti) beberapa saat sebelum impak.
Laporan awal oleh Biro Penyiasatan Kemalangan Udara India yang dikeluarkan hari ini bagaimanapun tidak membuat sebarang apa-apa kesimpulan atau menuding kesalahan berhubung pergerakan suis kawalan bahan api tersebut.
Namun, laporan mendedahkan bahawa salah seorang juruterbang telah bertanya kepada rakannya mengapa bahan api dipotong, dan juruterbang kedua menjawab bahawa dia tidak berbuat demikian.
Siasatan dijalankan pakar dari Biro Penyiasatan Kemalangan Udara India dengan bantuan pakar dari United Kingdom, Amerika Syarikat dan wakil syarikat Boeing.
Dalam tragedi 12 Jun lalu, pesawat Boeing 787 Dreamliner yang menuju ke London itu terhempas di atas sebuah asrama kolej perubatan sejurus selepas berlepas dari bandar Ahmedabad.
Hanya seorang penumpang terselamat, manakala 241 penumpang dan anak kapal serta 29 orang di darat maut.
Ia menjadikannya antara tragedi penerbangan terburuk di India dalam tempoh beberapa dekad. - AFP