GAZA, 12 Julai - Sepuluh penduduk Palestin terbunuh Jumaat lalu ketika menunggu bantuan makanan di Gaza.
Jumlah berkenaan menjadikan hampir 800 orang maut dalam sejak akhir Mei, menurut Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).
PBB melaporkan 798 individu maut antara akhir Mei hingga 7 Julai, termasuk 615 orang berhampiran kawasan kendalian Gaza Humanitarian Foundation (GHF), iaitu pertubuhan baharu disokong Amerika Syarikat dan Israel.
GHF kini menggantikan peranan PBB dalam menyelaras bantuan, namun PBB enggan bekerjasama dengannya kerana bimbang ia menuruti kepentingan tentera Israel.
GHF menolak laporan berkenaan sebagai palsu dan mendakwa kebanyakan serangan maut berpunca daripada konvoi bantuan PBB.
Agensi pertahanan awam Gaza pula melaporkan 45 kematian di seluruh wilayah pada hari yang sama.
Saksi di selatan Gaza melaporkan kehadiran kereta kebal Israel di Khan Yunis, dengan tembakan dan pemusnahan kawasan pertanian serta khemah pelarian.
Tentera Israel menyatakan operasi di kawasan itu menyasarkan infrastruktur pengganas.
Sejak serangan pada Oktober 2023 lepas, sekurang-kurangnya 57,823 penduduk Palestin terkorban dalam konflik berterusan, menurut Kementerian Kesihatan di Gaza.
Daripada 251 tebusan yang diculik, 49 masih ditahan, termasuk 27 yang dipercayai telah meninggal dunia. -AFP