fb fb fb fb fb

Ketua geng jenayah Ecuador diekstradisi ke AS

'Fito' diekstradisi ke AS bagi menghadapi tujuh pertuduhan berkaitan pengedaran dadah dan pemilikan senjata api. - Foto REUTERS

QUITO, 12 Julai – Ketua geng jenayah Ecuador, Jose Adolfo Macias atau lebih dikenali sebagai 'Fito' diekstradisi ke Amerika Syarikat (AS) bagi menghadapi tujuh pertuduhan berkaitan pengedaran dadah dan pemilikan senjata api.

Keputusan Fito menerima permintaan ekstradisi itu dijangka mempercepatkan proses penyerahan, yang kini hanya menunggu pengesahan daripada Presiden Ecuador sebelum rundingan dengan pihak berkuasa AS dapat dimuktamadkan.

Jika dia menolak, proses undang-undang yang panjang di Mahkamah Kebangsaan mungkin berlangsung selama beberapa bulan sebelum keputusan akhir dibuat.

Fito yang sebelum ini berjaya meloloskan diri dari penjara pada Januari 2024, ditangkap semula pada akhir Jun lalu kini ditempatkan di penjara keselamatan maksimum.

Dia sedang menjalani hukuman penjara selama 34 tahun di Ecuador atas pelbagai jenayah, termasuk pembunuhan, pengedaran dadah dan penglibatan dalam jenayah terancang.

Di mahkamah persekutuan AS di Brooklyn, New York, Fito berdepan tujuh tuduhan rasmi berikutan tuduhan mengarahkan keganasan terhadap penguat kuasa undang-undang, ahli politik, peguam, pendakwa dan orang awam di Ecuador menerusi gengnya dikenali sebagai Los Choneros.

Pihak berkuasa Ecuador turut menuduh kumpulan itu mengawal banyak penjara di negara itu serta terlibat dalam kegiatan pemerasan, pengedaran dadah dan pembunuhan. - REUTERS

KHAIRUL AMRI BIN YASIN