(Megan Thee Stallion/Foto Reuters)
LOS ANGELES, 9 Ogos- Penyanyi rap, Tory Lanez dijatuhi hukuman penjara 10 tahun pada Selasa, lebih tujuh bulan selepas dia disabitkan bersalah menembak rakan artis, Megan Thee Stallion dalam satu pertengkaran di satu pesta pada 2020.
Laporan media tempatan menyebut, Hakim David Herriford menjatuhkan hukuman itu kepada Lanez, 30, nama sebenarnya Daystar Peterson, semasa perbicaraan di Mahkamah Tinggi Los Angeles.
Pada 23 Disember lalu, juri mendapati Lanez bersalah kerana membawa senjata api yang tidak berdaftar, serangan menggunakan pistol semiautomatik dan juga melepaskan senjata api dalam keadaan cuai.
Akibat pertengkaran pada 2020 itu, Megan Thee Stallion, 28, cedera ditembak di kaki.
Insiden mula tercetus apabila kedua-duanya mula menyerang kerjaya muzik masing-masing.
Sementara itu, dalam wawancara bersama majalah Rolling Stone, Megan memberitahu kecederaan dialami memerlukan beliau menjalani pembedahan dan menghabiskan empat hari di hospital, sebelum terapi fizikal membenarkannya berjalan semula.
"Saya sangat takut tidak dapat menjadi Megan Thee Stallion lagi," katanya.
Megan Thee Stallion pernah dinobat penyanyi rap wanita pertama meraih trofi Artis Baharu Terbaik pada Anugerah Grammy 2021.
Beliau turut merangkul trofi Persembahan Rap Terbaik.-REUTERS
(Penyanyi rap, Tory Lanez/Foto AFP)