fb fb fb fb fb

'Tiktokers' Itali pura-pura sakit untuk naik ambulans 'tunggu masa' dicekup polis

(Tangkap layar video tular/TikTok @ssikerim)

ROM, 15 Julai- Dua warga Itali yang membuat kandungan video berpura-pura sakit untuk 'menumpang' ambulans ke bandar berdekatan menerusi laman sosial TikTok akan didakwa, menurut polis tempatan.

Video mereka di TikTok dengan catatan 'Apabila anda berada di luar bandar dan tiada pengangkutan awam' itu mendapat lebih 50,000 tontonan dalam masa satu hari ia dikongsi.

Rakaman dibuat pada Ahad lalu oleh lelaki berusia 19 dan 20 tahun yang bermula dengan salah seorang daripada mereka berkata, "Kami sesat di kawasan luar bandar, dan kini kami akan menyelesaikan masalah itu."

Dia kemudian membuat panggilan kecemasan dengan memaklumkan rakannya pengsan, manakala seoang lagi dirakam berbaring di atas kerusi sambil menahan ketawa.

Tidak lama kemudian sebuah ambulans tiba dan anggota perubatan melakukan rawatan awal di lokasi kejadian sebelum kedua-dua mereka dikejarkan ke bahagian kemalangan dan kecemasan sebuah hospital di bandar persisir pantai Riccione.

Susulan kejadian itu, polis mengesahkan telah mengenal pasti pelaku dan tangkapan segera akan dilakukan sebaik pihak hospital selesai memfailkan aduan.

Akhbar tempatan, Il Resto del Carlino pula melaporkan salah seorang mereka mengaku bahawa dia menyesal dengan perbuatannya.

"Saya seorang yang bodoh, saya tidak sepatutnya berbuat demikian," katanya.

(Tangkap layar video tular/TikTok @ssikerim)

Media Baharu