POKROVSK, 18 November- Sekurang-kurangnya tiga terbunuh dan dua cedera di wilayah Donetsk, Ukraine akibat serangan tentera Rusia pada Isnin.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky turut melawat kawasan garisan hadapan, di tengah-tengah situasi yang semakin tegang.
Wilayah perindustrian Donetsk, yang telah diisytiharkan oleh Moscow sebagai sebahagian daripada Rusia sejak akhir 2022, menyaksikan kemaraan pantas pasukan Rusia selepas pencerobohan besar-besaran pada Februari tahun lalu.
Gabenor Donetsk, Vadym Filashkin di media sosialnya berkata serangan Rusia telah menyebabkan kematian di dua bandar yang teruk dilanda perang.
"Rusia menyerang Kostyantynivka dengan artileri, membunuh dua orang dan mencederakan dua lagi," katanya.
Seorang lagi mangsa terbunuh dalam serangan di bandar Siversk, di utara wilayah tersebut.
Dalam pada itu, Zelensky berkata beliau melawat bandar Pokrovsk untuk memberikan penghargaan kepada pasukan Ukraine yang mempertahankan garisan hadapan, berikutan kemaraan tentera Rusia ke kawasan berkenaan.
"Ini kawasan yang sangat tegang," katanya, sambil berterima kasih kepada pasukan Ukraine kerana memastikan wilayah Donbas tidak "sepenuhnya jatuh ke tangan Rusia."
Zelensky juga melawat beberapa garisan pertahanan yang sedang dibina di kawasan garisan hadapan.
Sejak perang bermula, Zelensky kerap melawat bandar dan bandar kecil yang musnah akibat konflik di timur dan selatan Ukraine, memberikan sokongan moral kepada tenteranya dan penduduk awam.- AFP