fb fb fb fb fb

Filipina dilanda Taufan Man-yi, ratusan ribu penduduk berpindah

Foto AFP

CATANDUANES, 18 November- Tiga ribut tropika berturut-turut yang melanda Filipina sejak beberapa minggu lalu menjejaskan 295,576 penduduk.

Menurut Majlis Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan, seramai 446,177 orang dibantu dan ditempatkan di 2,717 pusat pemindahan.

Dalam kemas kini terbaharu hari ini, agensi itu memaklumkan, Filipina kini terjejas teruk akibat Taufan Man-yi.

Secara keseluruhan bencana ribut di negara itu telah menyebabkan lebih 7,000 kediaman musnah dan rosak teruk.

Kerosakan sektor pertanian pula dianggar lebih 8 juta peso di dua wilayah negara itu.

Manakala kerosakan infrastruktur dianggarkan bernilai hampir 470 juta peso.

Taufan Man-Yi adalah ribut tropika keenam yang melanda Filipina dalam tempoh sebulan.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini turut mengeluarkan nasihat mengenai taufan ‘Man-Yi’.

Taufan berkenaan bergerak ke arah Barat Laut dengan kelajuan 20 kilometer sejam dan kelajuan angin maksimum 120 kilometer sejam.

MetMalaysia dalam satu kenyataan berkata kedudukan taufan itu pada latitud 18.1 Utara dan longitud 118.3 Timur, kira-kira 229 kilometer ke Barat laut Vigan City, Filipina dan jarak 1,257 kilometer ke Timur Laut Kudat, Sabah.

Bagaimanapun, MetMalaysia menjangka taufan itu tidak memberi kesan signifikan di Malaysia.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM