KHARKIV, 11 April - Serangan udara Rusia di wilayah Kharkiv, di timur laut Ukraine pada petang Rabu yang menyasarkan sebuah klinik dan farmasi, membunuh sekurang-kurangnya tiga orang, kata seorang pegawai tempatan.
Kharkiv dan wilayah sekitarnya telah lama menjadi sasaran serangan Rusia, namun serangan itu menjadi lebih sengit sejak beberapa minggu kebelakangan ini dengan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan infrastruktur awam dan tenaga.
Seorang gadis berusia 14 tahun dan dua wanita terbunuh dan dua yang lain cedera di perkampungan Lyptsi, di mana sebuah farmasi diserang, kata Gabenor Wilayah, Oleh Synehubov di Telegram.
Dua peluru berpandu telah memusnahkan sebuah klinik di Vovchansk, mencederakan seorang, kata Synehubov.
Dalam kejadia berasingan, tentera Rusia telah menjatuhkan bahan letupan ke atas sebuah bas, mencederakan seorang lelaki, menurut Kementerian Dalam Negeri.
Rusia menafikan sengaja menyasarkan orang awam, walaupun perang yang bermula dengan pencerobohan besar-besaran pada tahun 2022 telah mengakibatkan kematian beribu-ribu orang serta memusnahkan beberapa bandar di wilayah itu.-REUTERS