fb fb fb fb fb

Tiga penyokong Daesh dihukum penjara bersubahat bunuh paderi pada 2016

("Saya berasa tenang", kata Roseline Hamel ahli keluarga Jacques Hamel/AFP)

PARIS, 10 Mac- Mahkamah Perancis mengenakan hukuman penjara sehingga 13 tahun terhadap tiga lelaki yang didakwa mempunyai hubungan kait dengan kes bunuh seorang paderi berusia 86 tahun, enam tahun lalu.

Jacques Hamel dibunuh dengan kejam apabila lehernya dikelar dalam satu serangan didalangi kumpulan Daesh pada 26 Julai 2016.

Ketika kejadian, dua penyerang berusia 19 tahun, Adel Kermiche dan Abdel-Malik Petitjean, merempuh masuk ke kawasan gereja sebelum melakukan pembunuhan selain turut mencederakan pengunjung gereja sehingga parah.

Polis berjaya menembak mati penyerang ketika keluar dari gereja untuk melarikan diri. Beberapa yang lain pula disiasat kerana terbabit dengan pembunuhan itu.

Menerusi satu video, mereka mengaku ahli kumpulan Daesh dan menggelar diri sebagai ‘askar’ untuk membalas dendam atas penglibatan Perancis dalam memerangi kumpulan Daesh di Syria dan Iraq.

Tiga suspek yang terlibat dalam kes pembunuhan itu didakwa atas kesalahan ‘bersubahat dengan pengganas’, iaitu -- Philippe Jean Louis, Farid Khelil dan Yassine Sebaihia.

Ke semua mereka didapati ada berhubung dengan pelaku serangan kerana Jean Louis bersama Petitjean ada ke Turki, beberapa minggu sebelum serangan berlaku.

Mahkamah Paris menetapkan hukuman 8 tahun penjara kepada Sebaihia, Khelil 10 tahun dan Jean Louis selama 13 tahun.

Pembunuhan paderi Hamel berlaku kurang dua minggu selepas serangan Hari Bastille yang meragut 86 nyawa. -AFP

 

(Gambar lakaran tertuduh Farid Khelil ketika perbicaraan kes bunuh Jacquel Hamel di Mahkamah Paris pada 2 Mac 222/AFP)

Media Baharu