BEIRUT, 30 September - Kumpulan pejuang Palestin mengumumkan tiga pemimpin mereka terbunuh dalam serangan Israel di Beirut yang merupakan serangan pertama dalam kawasan bandar.
Barisan Popular untuk Pembebasan Palestin (PFLP) menyatakan bahawa ketiga-tiga pemimpin itu terbunuh dalam serangan yang menyasarkan daerah Kola di Beirut.
Serangan itu mengenai tingkat atas sebuah bangunan pangsapuri di daerah Kola, menurut saksi Reuters.
Kadar serangan Israel yang semakin meningkat terhadap pejuang Hizbullah di Lubnan dan kumpulan Houthi di Yaman telah menimbulkan kebimbangan bahawa pertikaian di Asia Barat boleh melarat dan melibatkan Iran dan Amerika Syarikat (AS).
Israel pada Ahad melancarkan serangan udara terhadap Houthi di Yemen dan puluhan sasaran Hizbullah di seluruh Lubnan selepas membunuh pemimpin Hizbullah Hassan Nasrallah.
Kementerian kesihatan yang dikendalikan Houthi menyatakan sekurang-kurangnya empat orang terbunuh dan 29 cedera dalam serangan udara di pelabuhan Hodeidah di Yaman.
Di Lubnan, pihak berkuasa melaporkan sekurang-kurangnya 105 orang terbunuh akibat serangan udara Israel pada Ahad.
Kementerian Kesihatan Lubnan menyatakan lebih 1,000 rakyatnya terbunuh dan 6,000 cedera dalam dua minggu lepas. - REUTERS