fb fb fb fb fb

Tiga maut, puluhan cedera dalam serangan bom berpandu Rusia ke atas Ukraine

Bom udara memusnahkan blok apartmen di bandar Kharkiv, Ukraine dalam serangan maut terbaharu Rusia./AFP

KHARVIV, 23 Jun- Rusia mengebom sebuah bangunan kediaman di bandar Kharkiv, Ukraine semalam, menyebabkan tiga orang terbunuh dan mencederakan 52 yang lain.

Gabenor wilayah itu, Oleg Synegubov berkata empat mangsa yang cedera berada dalam keadaan parah.

"Doktor berjuang untuk nyawa empat pesakit iaitu dua wanita dan dua lelaki, yang dalam keadaan serius," katanya.

Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy menggesa lebih banyak bantuan dihulurkan untuk menangani ancaman yang semakin luas melibatkan senjata seumpama itu.

Presiden Zelenskyy berkata pada bulan ini sahaja, pasukan Rusia menggunakan lebih 2,400 bom berpandu ke atas sasaran-sasaran Ukraine.

Kongres Amerika Syarikat meluluskan satu pakej bantuan yang besar pada bulan April, yang membolehkan Ukraine menokok semula bekalan senjata untuk membendung kemusnahan dan mengurangkan kekerapan dibedil serangan peluru berpandu.

Presiden Zelenskyy berkata perkara sama juga perlu dilakukan sekarang bagi mencegah pengeboman serupa.

"Sejak awal Jun ini sahaja, Rusia telah menggunakan lebih daripada 2,400 bom udara berpandu terhadap Ukraine, kira-kira 700 daripadanya disasarkan di wilayah Kharkiv.

"Ini dikira keganasan, " kata Zelensky dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Ukraine lancarkan berpuluh-puluh dron semalaman, menyasarkan beberapa wilayah Rusia.

Bagaimanapun pihak berkuasa Rusia menyatakan tiada kerosakan dilaporkan sejauh ini.

Sekurang-kurangnya 23 dron telah dipintas di wilayah Bryansk di bahagian barat Rusia yang berkongsi sempadan dengan Ukraine.

Sistem pertahanan udara Rusia juga memusnahkan dron di wilayah Smolensk.

Pihak berkuasa Rusia menyatakan menurut maklumat awal, tiada kematian atau kemusnahan dilaporkan di kedua-dua wilayah terbabit.- AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI