BEIRUT, 17 September- Sekurang-kurang tiga terbunuh dan lebih 1,000 orang termasuk anggota Hezbollah dan pegawai perubatan cedera apabila alat kelui yang digunakan sebagai peranti komunikasi meletup di Lubnan, menurut sumber keselamatan kepada Reuters.
Seorang pegawai Hezbollah, yang namanya tidak didedahkan, berkata letupan alat kelui itu merupakan "pelanggaran terbesar keselamatan" yang dialami kumpulan tersebut dalam hampir setahun perang dengan Israel.
Israel dan Hezbollah yang disokong Iran sering terlibat dalam pertempuran rentas sempadan sejak perang Gaza tercetus pada Oktober tahun lalu.
Ini merupakan kemelut paling dahsyat dalam tempoh bertahun-tahun.
Tentera Israel bagaimanapun enggan memberikan sebarang komen kepada Reuters mengenai letupan tersebut.
Agensi berita Iran, Mehr melaporkan bahawa duta Iran ke Lubnan, Mojtaba Amani, mengalami kecederaan disebabkan salah satu letupan itu.
Seorang wartawan Reuters menyaksikan ambulans bergegas melalui kawasan pinggir bandar di selatan ibu kota Beirut, iaitu kubu kuat Hezbollah, di tengah-tengah keadaan cemas di sana.
Satu sumber keselamatan berkata alat-alat itu juga meletup di selatan Lubnan.
Di Hospital Mt Lebanon, seorang wartawan Reuters melihat beberapa motosikal di jabatan kecemasan, di mana orang ramai dengan tangan berlumuran darah sedang mengerang kesakitan.
Ketua hospital awam Nabatieh di selatan negara itu, Hassan Wazni, memberitahu Reuters sekitar 40 orang cedera sedang dirawat di kemudahan itu.
Kecederaan yang dialami termasuk pada bahagian muka, mata dan kaki serta tangan.
Gelombang letupan itu berlangsung sekitar sejam selepas letupan awal, yang berlaku kira-kira pukul 3.45 petang waktu tempatan.
Namun tiada butiran lanjut diketahui bagaimana alat-alat itu diletupkan.
Pasukan keselamatan dalaman Lubnan menyatakan sejumlah peranti komunikasi tanpa wayar diletupkan di merata Lubnan, khususnya di kawasan pinggir bandar di Beirut, menyebabkan kecederaan.
Orang ramai berkumpul di pintu-pintu masuk bangunan untuk mencari orang-orang yang mereka kenali yang mungkin cedera, kata seorang wartawan Reuters.
Rakaman CCTV yang ditayangkan syarikat-syarikat penyiar serantau menunjukkan satu peranti kecil, yang terletak bersebelahan dengan lokasi juruwang di sebuah kedai di mana seorang individu dilihat sedang membuat bayaran, tiba-tiba terjadi letupan.
Menerusi satu lagi rakaman, satu letupan mencederakan individu yang sedang berdiri di sebelah gerai buah-buahan di satu kawasan pasar.
Pusat operasi krisis Lubnan, yang dikendalikan kementerian kesihatan, meminta semua petugas kesihatan kembali ke hospital masing-masing untuk membantu menangani jumlah mangsa yang cedera.
Ia juga mengingatkan para petugas kesihatan supaya tidak menggunakan alat kelui.- REUTERS