fb fb fb fb fb

Tiga maut dalam serangan Israel berhampiran sempadan Syria–Lubnan

FOTO AFP

BEIRUT, 26 Disember - Tiga orang disahkan maut dalam satu serangan Israel ke atas sebuah kenderaan berhampiran sempadan Syria–Lubnan pada Khamis.

Menurut Kementerian Kesihatan Lubnan, serangan itu berlaku di pekan Hawsh al-Sayyed Ali, daerah Hermel, dan menyasarkan sebuah kenderaan.

Agensi Berita Nasional (NNA) melaporkan serangan udara berkenaan mengenai sebuah van, menyebabkan kedua-dua mangsa maut di lokasi kejadian.

Manakala seorang lagi mangsa terbunuh dalam serangan udara Israel di Majdal Selm, selatan Lubnan.

Dalam perkembangan berkaitan, NNA turut melaporkan seorang lelaki yang cedera dalam serangan Israel berhampiran Beirut minggu lalu meninggal dunia akibat kecederaan dialami.

Mangsa dikenal pasti sebagai anggota Agensi Keselamatan Am Lubnan dan dilaporkan kebetulan melalui kawasan itu ketika pulang daripada menjalankan tugas di Beirut.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan Lubnan memaklumkan serangan di Jadra–Siblin, daerah Shouf, kira-kira 30 kilometer di selatan Beirut, mengorbankan seorang dan mencederakan lima yang lain.

Pada Selasa, tentera Lubnan mengesahkan seorang anggotanya antara yang terkorban dalam satu lagi serangan Israel sehari sebelumnya, sambil menafikan dakwaan tentera Israel bahawa mangsa merupakan anggota Hizbullah.

Serangan berkenaan berlaku ketika tekanan antarabangsa semakin meningkat terhadap Lubnan untuk melucutkan senjata kumpulan militan Hezbollah di selatan negara itu.

Serangan tersebut berlaku meskipun gencatan senjata yang dicapai pada November 2024 bertujuan menamatkan lebih setahun pertempuran antara Israel dan Hizbullah yang disokong Iran.

Bagaimanapun, Israel terus melancarkan serangan ke atas Lubnan dan mengekalkan kehadiran tenteranya di lima kawasan strategik di selatan negara itu.

Di bawah tekanan berterusan Amerika Syarikat serta kebimbangan terhadap serangan Israel yang lebih meluas, kerajaan Lubnan berikrar untuk melucutkan senjata Hizbullah bermula di selatan negara itu.

Tentera Lubnan merancang untuk menamatkan proses pelucutan senjata kumpulan berkenaan di selatan Sungai Litani sebelum akhir tahun ini.

Ketua Angkatan Tentera Lubnan, Jeneral Rodolphe Haykal, berkata tentera kini “dalam proses menyelesaikan fasa pertama pelan tersebut”.

Sejak gencatan senjata berkuat kuasa, lebih 340 individu dilaporkan terbunuh akibat serangan Israel di Lubnan, menurut kiraan AFP berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan negara itu. - AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD