fb fb fb fb fb

Tiga istana diraja Bavaria diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO

Istana Neuschwanstein di Bavaria/ REUTERS

PARIS, 13 Julai – Tiga istana diraja Bavaria yang terkenal dengan keindahan seni bina seakan dongeng, termasuk Neuschwanstein, Herrenchiemsee dan Linderhof, secara rasmi telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan PBB (UNESCO).

Pengiktirafan itu diumumkan Jawatankuasa Warisan Dunia UNESCO semasa sesi ke-47 yang berlangsung di Paris, sebagai menghargai kepentingan seni bina dan budaya yang diketengahkan menerusi pembinaan istana abad ke-19 oleh Raja Ludwig II dari Bavaria.

Istana Neuschwanstein memulakan pembinaannya pada tahun 1869, namun projek tersebut tidak pernah disiapkan sepenuhnya selepas pembinaan dihentikan susulan kemangkatan Raja Ludwig pada tahun 1886.

Kini, istana berkenaan menjadi salah satu destinasi pelancongan paling popular di Jerman dengan menerima kira-kira 1.4 juta pengunjung setiap tahun. Keunikan seni binanya turut memberi inspirasi kepada rekaan logo istana Disney selepas lawatan Walt Disney ke situ pada era 1950-an.

Perdana Menteri Negeri Bavaria, Markus Soeder menyifatkan pengiktirafan itu sebagai satu "penghormatan bertaraf dunia," sambil menggambarkan Neuschwanstein sebagai "mercu tanda Bavaria yang tiada tandingan."

"Untuk istana dongeng kami, satu kisah dongeng telah menjadi nyata," menurutnya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah bahawa Neuschwanstein bukan sekadar menampilkan karya seni dan budaya agung, malah mengandungi elemen 'kitsch dan klise' yang tersendiri.

"Apabila melihat istana ini, mungkin ada yang teringatkan Disney – tetapi tidak, Neuschwanstein ialah dan akan kekal sebagai yang asli dari Bavaria," tambah kenyataan itu. -REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI