PYONGYANG, 13 Julai – Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un bertemu dengan Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov di bandar pesisir timur Wonsan.
Televisyen rasmi negara itu, KRT melaporkan pertemuan itu berlangsung pada Sabtu (12 Julai), bersempena dengan pembukaan kawasan pelancongan pesisir baharu Wonsan Kalma untuk penduduk tempatan baru-baru ini.
Menurut agensi berita rasmi Korea Utara, KCNA, Kim menyatakan kesediaan negaranya untuk "menyokong tanpa syarat" segala langkah yang diambil Moscow bagi menyelesaikan konflik di Ukraine.
Pertemuan itu juga merupakan sebahagian daripada rundingan strategik peringkat tinggi antara kedua-dua negara.
Media Rusia pula melaporkan bahawa Lavrov dalam pertemuan itu menyifatkan hubungan dua hala antara Rusia dan Korea Utara sebagai satu "persaudaraan pejuang yang tidak dapat dikalahkan" serta mengucapkan terima kasih kepada Kim atas penghantaran tentera ke Rusia.
Sebelum itu, Lavrov turut mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Korea Utara, Choe Son Hui, di Wonsan. KCNA melaporkan kedua-dua pihak mengeluarkan kenyataan bersama yang menegaskan komitmen untuk mempertahankan kedaulatan dan keutuhan wilayah masing-masing.
Hubungan antara Rusia dan Korea Utara semakin erat sejak bermulanya perang di Ukraine pada Februari 2022, dengan Pyongyang dilaporkan telah menghantar lebih 10,000 anggota tentera dan bekalan senjata ke Rusia bagi menyokong ketenteraan Moscow. -REUTERS