fb fb fb fb fb

Eropah kecam tarif AS, seru EU bertindak balas

Tarif 30 peratus ke atas eksport Kesatuan Eropah/Foto REUTERS

NEW YORK, 13 Julai - Pemimpin dan pegawai kanan beberapa negara Eropah pada Sabtu menyuarakan bantahan terhadap pengumuman Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang mengenakan tarif 30 peratus ke atas eksport Kesatuan Eropah (EU).

Mereka menggesa EU supaya melaksanakan tindakan balas bagi mempertahankan kepentingannya dan meneruskan rundingan perdagangan dengan Amerika Syarikat.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron, membantah sekerasnya tindakan Amerika itu, menyatakan rasa tidak puas hati dan mengecam keputusan tersebut.

Beliau menegaskan, sekiranya tiada persetujuan dicapai sebelum 1 Ogos, EU perlu segera bersiap sedia dengan tindakan balas yang meyakinkan, termasuk menggunakan semua mekanisme yang ada seperti mekanisme anti-paksaan.

Dalam pada itu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi dan Tenaga Jerman, Katherina Reiche berkata, keputusan tarif Amerika bukan sahaja akan menjejaskan pengeksport Eropah, malah turut memberi kesan besar kepada ekonomi dan pengguna di Amerika Syarikat sendiri.

Menurut Reiche, EU perlu menjalankan rundingan secara pragmatik dengan Amerika Syarikat sebelum tarif itu berkuat kuasa dan Jerman akan memberi sokongan penuh terhadap kedudukan EU dalam rundingan tersebut.

Perdana Menteri Belanda, Dick Schoof pula mengkritik keputusan tarif itu sebagai pendekatan yang salah dalam menyelesaikan isu perdagangan dan menyatakan kebimbangan serius. Beliau menggesa EU supaya bersatu dan tegas dalam mencari penyelesaian yang menguntungkan kedua-dua pihak.

Perdana Menteri Sweden, Ulf Kristersson turut menyatakan penyesalan terhadap keputusan Amerika dan menyokong usaha EU untuk mencari penyelesaian melalui rundingan. Beliau juga menyeru EU agar mengambil tindakan balas tegas jika perlu.

Kristersson menegaskan bahawa Sweden menyokong perdagangan bebas dan kerjasama antarabangsa, sambil mengingatkan bahawa dalam konflik perdagangan yang semakin memuncak, semua pihak akan mengalami kerugian.

Presiden Majlis Eropah, Antonio Costa pula berkata, perdagangan bebas dan adil dapat mendorong kemakmuran, mewujudkan peluang pekerjaan dan mengukuhkan rantaian bekalan. Sebaliknya, tarif akan meningkatkan inflasi, mencetuskan ketidaktentuan, dan menghalang pertumbuhan ekonomi.

Costa menyatakan bahawa EU akan terus mewujudkan hubungan perdagangan yang kukuh di peringkat global dan bersedia mempertahankan kepentingannya, sambil menambah bahawa Majlis Eropah memberi sokongan penuh kepada Suruhanjaya Eropah dalam usaha mencapai perjanjian yang adil dengan Amerika Syarikat. -REUTERS.

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN