fb fb fb fb fb

Rusia lancar serangan udara ke atas ketenteraan Ukraine, kebanyakan dron dipintas

Kementerian Pertahanan Rusia/ REUTERS

KIEV, 13 Julai – Ketegangan di medan perang terus memuncak apabila Rusia melancarkan siri serangan udara ke atas kemudahan ketenteraan dan industri Ukraine, manakala Ukraine pula telah memintas sebahagian besar dron yang digunakan dalam serangan tersebut, menurut kenyataan kedua-dua pihak pada Sabtu.

Kementerian Pertahanan Rusia memaklumkan, serangan pada Sabtu itu melibatkan penggunaan senjata jarak jauh berketepatan tinggi serta dron serangan udara yang menyasarkan kemudahan industri ketenteraan dan infrastruktur lapangan terbang tentera di Lviv, Kharkiv dan Lutsk. Semua sasaran dikatakan berjaya dimusnahkan.

Pada masa sama, tentera Rusia turut meneruskan operasi ofensif di beberapa wilayah termasuk Sumy, Kharkiv, Donetsk, Dnipropetrovsk, Zaporizhzhia dan Kherson.

Sementara itu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, memaklumkan bahawa sebanyak 26 peluru berpandu jelajah dan 597 dron telah dilancarkan Rusia dalam serangan pada Jumaat. Sekitar 20 peluru berpandu dan majoriti besar dron tersebut berjaya dipintas menerusi sistem pertahanan udara Ukraine.

Dalam perkembangan berkaitan, Mejar Jeneral Christian Freuding dari Jerman memberitahu media tempatan pada Jumaat bahawa kumpulan pertama peluru berpandu jarak jauh yang dibiayai kerajaan Jerman akan dihantar ke Ukraine menjelang akhir Julai ini.

Beliau menegaskan bahawa Ukraine memerlukan senjata yang berkeupayaan menyerang jauh ke dalam wilayah Rusia, termasuk kemudahan seperti gudang senjata, pusat arahan, lapangan terbang dan pesawat musuh. -REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI