ZAPORIZHZHIA, 1 Jun- Tiga cedera dalam serangan dron Rusia ke atas bandar selatan Ukraine, Zaporizhzhia, pada awal pagi Ahad.
Menurut gabenor wilayah itu, Ivan Fedorov, serangan tersebut turut mengakibatkan kerosakan puluhan kediaman dan infrastruktur penting.
"Tiga bangunan pangsapuri, 29 rumah persendirian serta beberapa kemudahan infrastruktur kritikal musnah akibat serangan beberapa dron Rusia," kata Fedorov dalam kenyataan di aplikasi Telegram.
Serangan itu berlaku hanya sehari sebelum Rusia dijadualkan memulakan pusingan kedua rundingan damai secara bersemuka dengan pegawai Ukraine di Istanbul, Turkiye.
Bagaimanapun, Ukraine masih enggan mengesahkan kehadiran dalam rundingan pada Isnin (2 Jun), dengan alasan mereka terlebih dahulu perlu meneliti cadangan rasmi daripada pihak Rusia.
Dalam pada itu, seorang senator kanan Amerika Syarikat memberi amaran bahawa Moscow bakal berdepan sekatan baharu yang lebih berat, jika meneruskan tekanan tanpa kemajuan bermakna dalam usaha damai.
Rundingan damai tersebut dianjurkan semula selepas pusingan pertama yang berlangsung pada Mei, gagal mencapai sebarang persefahaman konkrit.
Konflik bersenjata antara kedua-dua negara kini memasuki tahun ketiga sejak pencerobohan penuh Rusia pada 2022.- REUTERS